Tuesday, January 1, 2019

Ibunya Cleaner Tapi 3 Anaknya Penghafaz Al-Quran

Oleh : Iryani Ahmad

Suatu masa dulu, ummi berpeluang berbual bersama seorang santri dari Indonesia. Perbualan yang terus sahaja mesra ketika kami makan bersama hidangan nasi beriani kambing di dalam talam. Masakan terbaik insyaAllah dimasak oleh Tuan Guru pengetua madrasah diiringi doa dan selawat pastinya. 



Rupa-rupanya makcik ini bukan calang-calangnya. Kesederhanaan pakaian serba hitam di tubuhya dan tutur katanya membuatkan ummi sudah terdetik siapakah hamba Allah SWT yang solehah di hadapan ummi ini. 



Beliau menterjemahkan tausiyyah Bahasa Arab yang disampaikan oleh seorang Pak Kiai dari Pesantren di Surabaya. Bertubi-tubi ummi menyoalnya soalan dengan niat mahu mengorek rahsianya. Kesusahan hidup menyebabkan beliau tidak pernah bersekolah hingga umurnya 12 tahun. Hanya pandai baca Al-Quran sahaja yang diajari orang tuanya. Seterusnya beliau masuk belajar ke pesantren di sana. Rumahnya dikelilingi pesantren. 



" Semua orang dikampungku menghafal Al-Quran."



" Biaya pengajian di pensantern mahal dik."



" Kami sanggup bekerja keras mendapatkan uang belanja demi mempelajari ilmu Al-Quran dik."



Meremang bulu roma ummi, terasa hinanya diriku. Tidak masuk akal katanya. Orang miskin seperti dia akhirnya mampu membayar yuran sekitar RM400 setiap bulan semata-mata mahu mempelajari ilmu agama. Anaknya ada 3, bermakna sekitar RM1k lebih setiap bulan untuk yuran sekolah sahaja. Beliau menjelaskan jangan membandingkan yuran pengajian agama dengan yuran sekolah biasa yang jauh lagi murah. Kelak kita akan menyesal kerana tidak bisa menanamkan rasa cinta anak-anak pada Allah SWT dan Al-Quran di dalam dada mereka.  



Kemiskinan hidupnya akhirnya boleh membuatkan dirinya menunaikan haji sebanyak 4 kali. Pengalamannya bekerja sebagai cleaner dan tukang masak membuatnya kuat semangat selalu demi membayar yuran sekolah anak-anaknya. Tidak mustahil bagi Allah. 



" Sejujurnya kita sebenarnya tidak memiliki apa pun di dunia ini. Mintalah pada Allah tanpa jemu. Andai harta yang diperlukan untuk mendidik iman seorang anak muda adalah segunung emas, silakan habis harta itu. Iman dalam dada anak lebih berharga sejuta kali ganda berbanding segunung emas tadi. Mintalah dengan penuh pengharapan." Nasihatnya pada ummi.



"Andai semua kekayaan di dunia ini dikumpul dan dibandingkan dengan keimanan dalam dada anak muda, tentulah harta yang banyak itu tidak bernilai apa-apa." Pesan beliau.




Moga redha Allah sentiasa bersama kamu wahai anak-anak ummi. Moga dirimu sebati dengan sifat syukur dan qanaah wahai anak-anak soleh solehah.


*********************************************************

Boleh dapatkan balm tasneem naturel di sini : www.wasap.my/601121870144

No comments: