Thursday, May 22, 2014

Budak Perempuan Sedekah RM200 dapat rantai emas nilai RM2000

Teks : Iryani Ahmad


Semasa kecil, ada seorang budak perempuan teringin mahu memakai rantai emas. Dia anak orang susah. Jumlah gaji kedua ibu bapanya hanya RM1000 sahaja.


Rantai emas itu bernilai RM2000 pada masa itu. Neneknya mengajar satu jalan pintas. Setiap hari budak perempuan itu kena menolong neneknya menjual kuih dan akan diberikan upah sebanyak RM10.


Cukup 10 hari, jumlah upah jual kuih yang dikumpulkan ialah RM100. Neneknya meminta duit RM100 itu dan membeli sebuah oven. Lalu disedekahkan kepada seorang janda yang miskin untuk dibuat sumber rezeki.


Budak perempuan itu mengumpul duit lagi. Cukup 10 hari, duit RM100 yang berjaya dikumpulkan diminta lagi oleh neneknya. Neneknya membeli lagi sebuah oven dan disedekahkan kepada janda miskin yang lain untuk dibuat sumber rezeki.


Budak perempuan ini berasa kecewa. Dia sedih lalu menangis. Dia tidak puas hati pada neneknya.


" Jika nenek yang mahu sedekahkan oven itu, guna sahajalah duit nenek. Kenapa ambil duit saya? "

" La, kan kamu yang mahu mengumpulkan duit untuk membeli rantai. Jadi nenek hanya menunjukkan jalan pintas sahaja."


Budak perempuan ini merajuk lalu bersiap-siap mahu pulang ke rumah ibu bapanya. Dia merasakan hanya dipergunakan sebagai kuli sahaja oleh neneknya. Sebelum pulang, neneknya sempat menjelaskan sesuatu.


" Alhamdulillah, kamu dah berjaya sedekahkan sebanyak RM200. Tidak lama lagi insyaAllah, Allah akan bagi kamu rantai emas yang harganya RM2000 itu. "


Budak perempuan ini hanya diam sahaja. Dia berasa kecewa dan sedih. Punahlah harapannya. Dia pasti ibu bapanya yang miskin itu pasti tidak mampu untuk membelikan barang semahal itu.


Sampai sahaja di rumah, dia pun menceritakan peristiwa di rumah neneknya kepada ibu bapanya. Hujung minggu itu, ibu saudaranya datang berkunjung ke rumahnya. 


Ibu saudara memanggilnya. Ada bungkusan hadiah di tangannya. Ibu saudaranya memberikan hadiah sempena keputusan cemerlangnya di dalam peperiksaan.


Apabila dia buka sahaja bungkusan hadiah, terkejutlah dia. Rupa-rupanya hadiah itu ialah rantai leher emas yang dia sangat inginkan sebelum itu. Dia terus teringatkan neneknya.


Lantas, dia segera menelefon neneknya dan memberitahu hal ini. Dia mengucapkan terima kasih kepada neneknya kerana mengajar sesuatu yang sangat berguna kepadanya.


* Sedekah RM200, Allah S.W.T balas RM2 000. Kalau sedekah RM 20 000, Allah S.W.T bagi RM 200 000. Sedekah RM 2 000 000, Allah S.W.T bagi berapa? Allah Ya Bari Ya Wahhab Ya Razzaq


No comments: