Sunday, April 20, 2014

"Semalam hari jadi saya ...Ibu Bapa Saya Tak Mahu Menyambut Hari Jadi Anak-Anaknya Kerana Perkara Ini...

"Semalam hari jadi saya ...yang ke 21." 


Begitulah yang saya jawab, pertanyaan daripada seorang jejaka pada suatu masa dahulu. Beliau memberikan saya sebiji kek Secret Recepi. Serius, itulah kali pertama saya makan kek tersebut. Ini kali kedua saya diraikan dengan kek pada hari lahir saya. Kali pertama semasa di tadika.


Jangan salah sangka. Beliau bertanya di hadapan seluruh ahli keluarga saya, di ruang tamu rumah saya. Pada masa itu, saya sudah menjadi tunangannya. Tetapi, beliau hanya bermesej dengan mama saya. Pada mulanya, saya menyangka beliau hanya berminat mahu menjadi anak angkat mama saya.


Saya tak kisah sangat kalau ramai yang tak tahu tarikh lahir saya. Semenjak kecil, kami adik-beradik tidak dibiasakan menyambut majlis hari jadi. Hal ini disebabkan, ibu bapa kami akan mengadakan jamuan makan dan membelikan hadiah untuk diberikan kepada anak-anak yatim. Makanan dan hadiah bukan untuk birthday girl! Semuanya milik anak yatim. Tapi, semenjak masuk ke sekolah asrama emosi saya tercedera kerana kebanyakan kawan-kawan perempuan akan diraikan dengan majlis hari jadi atau 'kejutan' yang tidak kurang meriahnya.


Sedihnya, apabila tiba hari lahir saya semuanya seperti biasa. Tiada ucapan. Tiada 'kejutan'. Tiada kek. Tiada kad. Tiada hadiah. Air mata selalu tumpah hanya kerana ini. Maklumlah, masih hingusan.


Tiba zaman membuat akaun Friendster dan sekarang Facebook. Saya tidak mengumumkan tarikh lahir di profile. Apalah yang ada pada hari lahir pada tarikh sekian-sekian. Begitulah pendapat kerdil saya.


Tiba-tiba tahun ini, saya sengaja membiarkan tarikh lahir diumumkan di laman media sosial tersebut. Mungkin disebabkan tahun terakhir untuk melayan semua ini. 


Adakah terasa sedih sebab tak ramai yang wish? Tidak sama sekali. Alhamdulillah. Segala persepsi tersebut sudah dibuang tidak lama dahulu.      


Hadiah Terindah


Setiap kali memandang 10 jari kaki dan tangan. Mata. Telinga. Semua anggota badan. Ini adalah hadiah paling istimewa yang dianugerahkan Allah S.W.T kepada saya. Setiap hari yang Allah S.W.T hadiahkan tanda memberi peluang kepada diri untuk perbaiki diri menjadi lebih baik keranaNya. 


~ Tanda orang tidak wish adalah tanda kurangnya orang mendoakan kita. Belum tentu. Paling penting kena risau, andai Allah S.W.T tidak memandang saya. 


~ Sedangkan matahari pun setiap hari menangis kerana takutkan Allah S.W.T, apalah sangat nak rasa sedih kerana tiada siapa ingatkan tarikh lahir seorang pendosa.

~ [edited 5/1/2019] Tahun 2017 kali terakhir hari jadi saya disambut secara besar-besaran oleh arwah papa, mama dan adik-adik yang sangat saya sayang. Arwah beriya-iya suruh saya menyanyikan lagu birthday dan ada banyak makanan kegemaran saya yang beliau sediakan dan sebiji kek yang besar.

Kawan-kawan yang sudah habis baca, mohon bacakan surah al-Fatihah dan istigfar untuk arwah ayah saya, Ahmad Zulkifly Bin Dasuki

No comments: