Wednesday, December 25, 2013

Perjalanan Penyusuan Eksklusif 12 bulan (1) - Fatih

Teks : Iryani Ahmad



Muhammad Alfatih yang diredhai Allah dan dirindui Rasulullah S.A.W!


Pemuda hebat yang disayangi Nabi! Alhamdulillah. Pada hari ini, genap Fatih berusia 3 tahun mengikut kalendar hijriah pada 20 Safar 1432. Syukur kepada Allah kerana masih diberikan nikmat iman dan Islam serta kemurahan kesihatan dan umur hingga hari ini. Atas permintaan seorang blogger iaitu Puan Sabrina, kali ini Ummi akan mencatatkan pengalaman penyusuan Fatih secara eksklusif selama lebih kurang 11 bulan 25 hari hari tanpa makan dan minum. Moga redha Allah sentiasa bersamamu wahai anak!


Syukur kepada Allah kerana memberikan Ummi peluang dan kekuatan untuk melaksanakan sunnah penyusuan mengikut kudrat yang termampu. Dengan rendah hatinya semasa baru hamil, Ummi tidak tahu tentang wajibnya seorang ibu menyusukan bayinya sendiri selama 2 tahun seperti yang dicatatkan dalam surah Al-Baqarah. Malah, Ummi sudah belikan botol susu kerana Ummi tak yakin boleh menyusukan anak sendiri. Ummi yang jahil ini hanya sekadar membaca Al-Quran tetapi tidak berusaha mahu memahami apa yang sedang Ummi baca saban hari. Berkat kesabaran Abi mendidik Ummi, kami pergi belajar tentang ilmu penyusuan di Klinik Kesihatan dan akhirnya membawa Ummi berjumpa dengan Kumpulan Sokongan Ibu Menyusu pada perjumpaan bulanan di Tasik Cempaka, Bangi.


Di sana, Ummi berjumpa dengan ramai pembimbing ibu menyusu (Peer Counselor) dan pakar laktasi iaitu Puan Kamariah. Ummi mendengar pengalaman mereka tentang cabaran menyusukan anak dan pelbagai ilmu baru tentang penyusuan. Barulah Ummi tahu proses ini adalah suatu perjalanan yang merupakan jihad seorang wanita bergelar ibu. Ummi sentiasa berhubung dengan mereka selepas itu dalam forum dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan penyusuan. Besarnya ganjaran pahala yang Allah bagi asbab kepenatan dan kelelahan menyusukan itu wahai ibu! 


Alhamdulillah, selepas bersalin Allah izinkan Ummi dapat menyusukan Fatih dalam tempoh 1 jam pertama. Agak kekok ketika itu tetapi Allah bagi peluang kepada Ummi mendapat teman sebilik yang sangat baik hatinya. Beliau sebelumnya telah membimbing Ummi supaya menghayati nikmatnya bersalin alami dan terus membantu Ummi dengan nasihat tentang penyusuan pula. Beliau mengajar Ummi cara memegang Fatih dan menyusukan dengan cara duduk dan baring. 


Apabila pulang ke rumah, Ummi dapat meneruskan menyusukan Fatih seperti biasa. Ada juga sesekali diuji dengan pelbagai ragam jururawat dan bidan urut yang mengatakan susu Ummi sedikit. Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu betapa Fatih kenyang dengan minum susu sahaja. Ummi tegas dengan keputusan Ummi mahu melaksanakan janji Ummi. Janji mahu menyusukan dengan susu ibu sahaja buat Fatih. Apabila mereka berkata macam-macam, Ummi hanya diam sahaja dan berserah pada Allah. Sepanjang proses berpantang, Alhamdulillah Ummi dapat menyusukan dengan tenang dan membuat susu perahan kerana keadaan susu yang luar biasa banyaknya.


Penyusuan Esklusif



Selepas habis proses berpantang, Ummi hanya berada di rumah sahaja kebetulan pada waktu itu berlaku perubahan pada jadual semester di beberapa universiti tempatan. Maka, Ummi hanya belajar di rumah sahaja dan akan mendaftar pada semester yang baru 7 bulan akan datang. Percutian yang agak lama dan Fatih pada waktu itu sudah berusia 8 bulan. Setiap bulan, Ummi akan pergi ke universiti kerana memenuhi temujanji dengan puan guru penyelia dalam menyiapkan tesis Ummi. Temujanji tersebut memakan masa yang agak lama lebih kurang 3 hingga 5 jam kerana ia bukan sekadar membincangkan hal pelajaran, malah isu-isu rumahtangga dan pelbagai luahan perasaan terpendam.


Dalam tempoh yang agak lama itu, kalau Fatih dahaga Ummi akan menyusukan Fatih di dalam bilik pensyarah Ummi. Beliau sangat meraikan kehadiran Fatih. Apabila Fatih berusia 6 bulan, Ummi meluahkan isi hati kepada Abi tentang risaunya hati ini akan cabaran mahu menjaga makan selepas ini. Abi pun mencadangkan agar melanjutkan penyusuan eksklusif ini hingga seberapa lama yang Allah izinkan.


Dihentam


Isu tentang kejamnya Ummi kerana tidak memberikan Fatih makan, rupa-rupanya tidaklah sedasyat yang Ummi sangkakan. Ummi perasan banyak yang Allah jaga dalam hal ini. Jika ada persoalan tentang mengapa dan kenapa kami tidak memberikan anak makan walhal sudah lebih 6 bulan, cukup hanya Ummi katakan ini adalah galakan dari Abi. Mereka diam. 


Tips motivasi untuk ibu :


  1. Apabila dihentam dengan kata-kata pedih seolah mempertikaikan tindakan penyusuan eksklusif ini, diam sahaja. Usah betah. Tak guna berlawan dengan orang yang niatnya mahu menyerang sahaja. Moga terdapat hikmah asbab diamnya kita.
  2. Cari sokongan dengan golongan sefikrah yang mahu melanjutkan penyusuan eksklusif ini. Luahkan dan berkongsi.
  3. Jika pergi ke rumah keluarga atau majlis, pastikan bayi telah kenyang dengan susu barulah benarkan orang lain memegang/bermain dengan bayi. Untuk elakkan sebarang sumbatan makanan yang tak perlu. Kalau bayi dah kenyang, dia takkan ambil dan masukkan apa-apa ke dalam mulut. 
  4. Menangis. Kalau itu yang boleh meredakan kita. Air mata dicipta untuk ditangisi. Melalui rembesan air mata itu akan keluar bersama toksin dan tekanan. Mengadu pada Allah. Minta pada-Nya dipinjamkan kekuatan untuk kita lalui semua ini. Mungkin inilah cara untuk kita menjadi lebih dekat kepada-Nya.



Begitu juga hingga sekarang. Fatih tidak pernah lagi makan apa-apa jajan atau faked foods atau makanan di kedai makan kecuali nasi lemak. Makanan di luar hanya nasi lemak sahaja yang Fatih selera mahu makan. Allah takdirkan Fatih tertidur atau leka bermain hingga Fatih tidak cenderung mahu makan yang lain selain masakan Ummi di rumah. Ummi serahkan semuanya pada Allah. Jagaan Allah yang paling sempurna berbanding diri Ummi yang hina ini.



Bulan berganti bulan dan pada suatu hari Ummi terasa rengat yang kuat di kawasan perut ketika menyusukan Fatih. Ketika itu Fatih berusia 11 bulan. Perkara itu berlanjutan hingga seminggu. 


Kemudian setiap kali menyusu, Fatih akan menangis seolah-olah tak puas menyusu dan tak kenyang. Gerak hati mengatakan Ummi sedang mengandung kerana sudah terlewat datang haid selama seminggu walaupun sepatutnya ini pusingan haid kedua selepas bersalinkan Fatih. Ya, Ummi mengalami lactational amenorrhea (tak datang haid kerana menyusu). Ini bermakna selepas bersalin, Ummi tak datang haid selama 10 bulan dan terus mengandung selepas datang haid kali pertama pada bulan ke-10.


Menyusukan semasa Mengandung


Pada waktu ini, Ummi dan Abi mengambil keputusan mahu memberi Fatih makan. Buah kurma yang pertama kali masuk ke perut Fatih. Setiap hari, Fatih hanya makan sekali sahaja. Masuk usia ke 14 bulan, barulah selera Fatih meningkat. Pada waktu ini, barulah Fatih makan nasi dan lain-lain real foods. Tiada garam dan gula lagi buat masa ini. Susu Ummi pada waktu hamil kian merudum dan Fatih menangis seakan tidak puas. Apabila Ummi mula mengenalkan dengan susu kambing segar, Fatih menolak. Sudahnya, Fatih tetap minum saki baki susu Ummi sahaja sehingga lahirnya adik baby. Selepas menyusukan Fatih pada hari bersalinkan adik, proses bersalin sangat sekejap selama 2 jam sahaja. Moga Allah gantikan dengan kebaikan yang lebih banyak buat Fatih. Kurma yang banyak khasiatnya. Di sini tentang khasiat kurma.


Fatih berpeluang tandem nursing dengan adik baby dalam tempoh berpantang. Semasa Ummi berpantang, Fatih dalam transisi minum susu kambing. Alhamdulillah, Fatih berhenti direct feeding selepas habis pantang. Walaupun begitu, Ummi masih memberikan susu ibu menerusi cawan. Susu kambing hanya minum sekali sehari sahaja. Mengapa susu kambing yang Ummi berikan? Boleh baca di sini tentang khasiat susu kambing.


Fatih anak yang sangat baik. Mudah Ummi menjagamu wahai anak. Begitu berdikari minum melalui cawan tanpa menyusahkan Ummi membelikan botol susu atau cawan sedut. Tapi, Ummi belikan juga yang murah-murah.


Kelainan


Sering ditanya bagaimanakah tahap perkembangan anak yang menyusu susu ibu semata? Alhamdulillah wa tabarakallah! Allah juga yang memberi izin semuanya. Pertama sekali tentulah tentang najis mukhaffafah yang masih terpelihara. Kedua, Ummi jadi malas kerana tak perlu fikirkan tentang makanan bayi. Hahaha


Fatih tumbuh gigi pada usianya 8 bulan. Tumbuh dengan 4 batang gigi serentak. 2 atas dan 2 bawah. Selesai sahaja keluar batch gigi pertama, tumbuh pula batch gigi kedua. Juga 4 batang gigi serentak. Subhanallah, malam-malam tak boleh tidur akibat kegatalan gusi. Ummi hanya berikan buah-buahan sejuk untuk hilangkan rasa gatal gusi seperti tembikai, tembikai susu dan betik di dalam peti ais. Selesai makan, sambung tidur dengan aman.


Menangis adalah hiburan bagi Fatih. Merengek mahukan perhatian. Mahukan belaian. Mahukan pelukan. Inilah kenangan terindah bagi Ummi kerana tangisan ini Ummi tak akan dengar lagi apabila Fatih besar. Fatih demam semasa mahu belajar berjalan. Ummi pernah catatkan di sini. Boleh juga baca di sini tentang rahsia hikmah demam pada badan kita.


Ummi sayang Fatih kerana Allah. Kelahiranmu Ummi telah nantikan sejak sekian lamanya. Semoga Fatih cepat menghabiskan cernaan-cernaan yang Ummi mainkan saban waktu. Semoga sempatlah Ummi mendengarnya. Ummi sentiasa doakan Fatihlah orangnya yang Nabi rindui itu. 



******************************

Ummi akan kongsikan nanti perjalanan penyusuan eksklusif adik Hassan selama 15 bulan, insyaAllah. Semua yang baik itulah milik Allah. 





Monday, December 16, 2013

Oh Bersalin!

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google


 ia penting supaya semua isteri tidak lagi berasa trauma untuk melalui detik kelahiran yang mencemaskan. Malah berasa ia adalah pengalaman yang paling indah lagi menyeronokkan sepanjang akhir hayat kita. Cuba bayangkan setiap tahun pada setiap kali kelahiran anak, kita akan bercerita pada anak tentang detik paling indah semasa mahu melahirkannya. Ia adalah kenangan terindah antara ibu dan anak sepanjang hidup mereka.

Pelbagai perasaan gundah gulana semasa mahu bersalinkan anak pertama. Pelbagai perasaan takut dan cemas yang menghantui. Banyak persoalan timbul. Saya selalu tertanya-tanya adakah mesti melalui proses yang amat menyakitkan hanya semata-mata mahu melahirkan cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini? Fakta atau mitos, kenyataan bahawa konsep bersalin itu adalah menyakitkan. Perkataan seperti " bersalin kat mana-mana, sakitnya tetap sama" sentiasa menerjah fikiran.

Tubuh badan wanita yang Allah ciptakan adalah yang paling sempurna. Semasa bersalin, hanya dua otot sahaja yang bekerja keras di rahim. Adakah ianya tak berfungsi dengan baik hingga terpaksa melalui kesakitan melampau? Bagaimana haiwan mamalia lain seperti kucing, tikus, gajah, lembu, kambing dan lain-lain boleh bersalinkan anak-anaknya dengan begitu mudah dan senang? Sementara, kita manusia sebagai ciptaan Allah SWT yang paling kompleks dan sempurna dikehendaki merasai derita ketika mahu bersalinkan bayi. Bagaimana pula ibu-ibu pada zaman dahulu boleh mempunyai anak yang sangat ramai dan hanya bersalin di rumah sahaja?

Sifat Allah SWT Yang Maha Penyayang dan menjadikan rahim wanita yang penuh kasih sayang untuk mengandungkan bayi selama 9 bulan. Allah SWT telah memberikan nikmat berkasih-sayang sesama suami isteri lalu mencambahkan benih suami ke dalam rahim wanita. Apabila tibanya waktu melahirkan, hanya isteri yang mengalami kesakitan melampau untuk melahirkan anak. Ada sesetengah isteri yang saya sendiri pernah jumpa merasakan ia agak tidak adil untuk dirinya. Kemudian, menyuruh suaminya menjaga dan mengasuh anaknya kerana pada pendapatnya dia sudah penat-penat mengandung dan melahirkan. Kini, urusan suaminya pula menguruskan anak itu hingga dewasa.



Semua ahli keluarga perempuan yang pernah melahirkan anak menasihati saya, lain orang lain pengalaman bersalinnya. Lain anak lain pula proses bersalinnya. Kalau begitu saya katakan sangat bertuahlah wanita yang dapat melahirkan anaknya dengan sangat senang, sakitnya pula tidak lama. 

Akhirnya, hal ini telah mendorong saya supaya pergi mendalami tentang hal ini secara berguru. Kursus kelahiran Hypnobirthing kami belajar selama 8 minggu. Pelbagai buku rujukan telah dibeli dan dibuat ulangkaji bersama untuk memahami konsep bersalin. Saya merasakan akan melalui peperiksaan akhir yang sangat penting iaitu dapat mengaplikasikan kelahiran di akhir kehamilan.

Pengalaman sendiri selepas melahirkan anak kedua secara semulajadi, saya rasakan seronok dan teruja sangat akan proses ini. Tidak terasa sebarang kesakitan pada mana-mana anggota badan. Paling seronok apabila disahkan koyakan yang sangat kecil. Tidak perlu dijahit. Maka, tempoh berpantang adalah saat paling gumbira. Badan sihat dan boleh meluangkan masa menyesuaikan diri dengan bayi comel. Pada tempoh berpantang sempat melatih anak sulung (pada waktu itu 1 tahun 7 bulan) supaya potty-training.

Walaupun begitu, saya tetap meneruskan resam berpantang secara tradisional seperti berurut, bertangas, berbengkung, bertungku dan bersauna. Dari sudut positif bahawa amalan berpantang sebenarnya tempoh untuk kita memanjakan diri dan berehat sebentar sebelum meneruskan rutin harian yang super sibuk sebagai ibu.

RM30 untuk 2 ebook!

Panduan lengkap dalam Ebook "Panduan 44 Hari Pantang Tradisional & Moden". Bakal terbit pada 1.1.2014. Buku dalam bentuk ebook ini merupakan satu koleksi garis panduan tentang pengurusan dan penjagaan selepas bersalin. Emosi yang baik selepas bersalin alami yang menyeronokkan akan diteruskan pula kepada fasa berpantang yang menggumbirakan.

Istimewanya hanya berharga RM30, bukan dapat satu tapi dua! Boleh dapatkan harga pre-order sebelum 1.1.2014. 

Hanya RM30 sahaja. Tempahan juga boleh dibuat di sini. http://iryaniahmad.blogspot.com/p/borang-tempahan.html

****************************************************************

Berita gembira buat para usahawan kerana sekarang sudah dibuat Kelas Akaun Bisnes Kecil buat WAHM SOHO secara 100% online atau offline. Keterangan tentang kelas ini boleh baca lanjut pada link ini

***************************************************************

Khas untuk mereka di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, Sri Kembangan dan kawasan berhampiran.

Bagi yang mahu ikut serta kelas asas blog mula bisnes, kelas akan diadakan mulai bulan ini pada setiap hari Sabtu & Ahad.
Masa : 2.00-5.00 ptg (3 jam)
Hanya 3 orang untuk satu sesi.

PM saya  Iryani Ahmad untuk keterangan lanjut.


****************************************************************



" Semoga bermanfaat "