Wednesday, December 25, 2013

Perjalanan Penyusuan Eksklusif 12 bulan (1) - Fatih

Teks : Iryani Ahmad



Muhammad Alfatih yang diredhai Allah dan dirindui Rasulullah S.A.W!


Pemuda hebat yang disayangi Nabi! Alhamdulillah. Pada hari ini, genap Fatih berusia 3 tahun mengikut kalendar hijriah pada 20 Safar 1432. Syukur kepada Allah kerana masih diberikan nikmat iman dan Islam serta kemurahan kesihatan dan umur hingga hari ini. Atas permintaan seorang blogger iaitu Puan Sabrina, kali ini Ummi akan mencatatkan pengalaman penyusuan Fatih secara eksklusif selama lebih kurang 11 bulan 25 hari hari tanpa makan dan minum. Moga redha Allah sentiasa bersamamu wahai anak!


Syukur kepada Allah kerana memberikan Ummi peluang dan kekuatan untuk melaksanakan sunnah penyusuan mengikut kudrat yang termampu. Dengan rendah hatinya semasa baru hamil, Ummi tidak tahu tentang wajibnya seorang ibu menyusukan bayinya sendiri selama 2 tahun seperti yang dicatatkan dalam surah Al-Baqarah. Malah, Ummi sudah belikan botol susu kerana Ummi tak yakin boleh menyusukan anak sendiri. Ummi yang jahil ini hanya sekadar membaca Al-Quran tetapi tidak berusaha mahu memahami apa yang sedang Ummi baca saban hari. Berkat kesabaran Abi mendidik Ummi, kami pergi belajar tentang ilmu penyusuan di Klinik Kesihatan dan akhirnya membawa Ummi berjumpa dengan Kumpulan Sokongan Ibu Menyusu pada perjumpaan bulanan di Tasik Cempaka, Bangi.


Di sana, Ummi berjumpa dengan ramai pembimbing ibu menyusu (Peer Counselor) dan pakar laktasi iaitu Puan Kamariah. Ummi mendengar pengalaman mereka tentang cabaran menyusukan anak dan pelbagai ilmu baru tentang penyusuan. Barulah Ummi tahu proses ini adalah suatu perjalanan yang merupakan jihad seorang wanita bergelar ibu. Ummi sentiasa berhubung dengan mereka selepas itu dalam forum dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan penyusuan. Besarnya ganjaran pahala yang Allah bagi asbab kepenatan dan kelelahan menyusukan itu wahai ibu! 


Alhamdulillah, selepas bersalin Allah izinkan Ummi dapat menyusukan Fatih dalam tempoh 1 jam pertama. Agak kekok ketika itu tetapi Allah bagi peluang kepada Ummi mendapat teman sebilik yang sangat baik hatinya. Beliau sebelumnya telah membimbing Ummi supaya menghayati nikmatnya bersalin alami dan terus membantu Ummi dengan nasihat tentang penyusuan pula. Beliau mengajar Ummi cara memegang Fatih dan menyusukan dengan cara duduk dan baring. 


Apabila pulang ke rumah, Ummi dapat meneruskan menyusukan Fatih seperti biasa. Ada juga sesekali diuji dengan pelbagai ragam jururawat dan bidan urut yang mengatakan susu Ummi sedikit. Tetapi hanya Allah sahaja yang tahu betapa Fatih kenyang dengan minum susu sahaja. Ummi tegas dengan keputusan Ummi mahu melaksanakan janji Ummi. Janji mahu menyusukan dengan susu ibu sahaja buat Fatih. Apabila mereka berkata macam-macam, Ummi hanya diam sahaja dan berserah pada Allah. Sepanjang proses berpantang, Alhamdulillah Ummi dapat menyusukan dengan tenang dan membuat susu perahan kerana keadaan susu yang luar biasa banyaknya.


Penyusuan Esklusif



Selepas habis proses berpantang, Ummi hanya berada di rumah sahaja kebetulan pada waktu itu berlaku perubahan pada jadual semester di beberapa universiti tempatan. Maka, Ummi hanya belajar di rumah sahaja dan akan mendaftar pada semester yang baru 7 bulan akan datang. Percutian yang agak lama dan Fatih pada waktu itu sudah berusia 8 bulan. Setiap bulan, Ummi akan pergi ke universiti kerana memenuhi temujanji dengan puan guru penyelia dalam menyiapkan tesis Ummi. Temujanji tersebut memakan masa yang agak lama lebih kurang 3 hingga 5 jam kerana ia bukan sekadar membincangkan hal pelajaran, malah isu-isu rumahtangga dan pelbagai luahan perasaan terpendam.


Dalam tempoh yang agak lama itu, kalau Fatih dahaga Ummi akan menyusukan Fatih di dalam bilik pensyarah Ummi. Beliau sangat meraikan kehadiran Fatih. Apabila Fatih berusia 6 bulan, Ummi meluahkan isi hati kepada Abi tentang risaunya hati ini akan cabaran mahu menjaga makan selepas ini. Abi pun mencadangkan agar melanjutkan penyusuan eksklusif ini hingga seberapa lama yang Allah izinkan.


Dihentam


Isu tentang kejamnya Ummi kerana tidak memberikan Fatih makan, rupa-rupanya tidaklah sedasyat yang Ummi sangkakan. Ummi perasan banyak yang Allah jaga dalam hal ini. Jika ada persoalan tentang mengapa dan kenapa kami tidak memberikan anak makan walhal sudah lebih 6 bulan, cukup hanya Ummi katakan ini adalah galakan dari Abi. Mereka diam. 


Tips motivasi untuk ibu :


  1. Apabila dihentam dengan kata-kata pedih seolah mempertikaikan tindakan penyusuan eksklusif ini, diam sahaja. Usah betah. Tak guna berlawan dengan orang yang niatnya mahu menyerang sahaja. Moga terdapat hikmah asbab diamnya kita.
  2. Cari sokongan dengan golongan sefikrah yang mahu melanjutkan penyusuan eksklusif ini. Luahkan dan berkongsi.
  3. Jika pergi ke rumah keluarga atau majlis, pastikan bayi telah kenyang dengan susu barulah benarkan orang lain memegang/bermain dengan bayi. Untuk elakkan sebarang sumbatan makanan yang tak perlu. Kalau bayi dah kenyang, dia takkan ambil dan masukkan apa-apa ke dalam mulut. 
  4. Menangis. Kalau itu yang boleh meredakan kita. Air mata dicipta untuk ditangisi. Melalui rembesan air mata itu akan keluar bersama toksin dan tekanan. Mengadu pada Allah. Minta pada-Nya dipinjamkan kekuatan untuk kita lalui semua ini. Mungkin inilah cara untuk kita menjadi lebih dekat kepada-Nya.



Begitu juga hingga sekarang. Fatih tidak pernah lagi makan apa-apa jajan atau faked foods atau makanan di kedai makan kecuali nasi lemak. Makanan di luar hanya nasi lemak sahaja yang Fatih selera mahu makan. Allah takdirkan Fatih tertidur atau leka bermain hingga Fatih tidak cenderung mahu makan yang lain selain masakan Ummi di rumah. Ummi serahkan semuanya pada Allah. Jagaan Allah yang paling sempurna berbanding diri Ummi yang hina ini.



Bulan berganti bulan dan pada suatu hari Ummi terasa rengat yang kuat di kawasan perut ketika menyusukan Fatih. Ketika itu Fatih berusia 11 bulan. Perkara itu berlanjutan hingga seminggu. 


Kemudian setiap kali menyusu, Fatih akan menangis seolah-olah tak puas menyusu dan tak kenyang. Gerak hati mengatakan Ummi sedang mengandung kerana sudah terlewat datang haid selama seminggu walaupun sepatutnya ini pusingan haid kedua selepas bersalinkan Fatih. Ya, Ummi mengalami lactational amenorrhea (tak datang haid kerana menyusu). Ini bermakna selepas bersalin, Ummi tak datang haid selama 10 bulan dan terus mengandung selepas datang haid kali pertama pada bulan ke-10.


Menyusukan semasa Mengandung


Pada waktu ini, Ummi dan Abi mengambil keputusan mahu memberi Fatih makan. Buah kurma yang pertama kali masuk ke perut Fatih. Setiap hari, Fatih hanya makan sekali sahaja. Masuk usia ke 14 bulan, barulah selera Fatih meningkat. Pada waktu ini, barulah Fatih makan nasi dan lain-lain real foods. Tiada garam dan gula lagi buat masa ini. Susu Ummi pada waktu hamil kian merudum dan Fatih menangis seakan tidak puas. Apabila Ummi mula mengenalkan dengan susu kambing segar, Fatih menolak. Sudahnya, Fatih tetap minum saki baki susu Ummi sahaja sehingga lahirnya adik baby. Selepas menyusukan Fatih pada hari bersalinkan adik, proses bersalin sangat sekejap selama 2 jam sahaja. Moga Allah gantikan dengan kebaikan yang lebih banyak buat Fatih. Kurma yang banyak khasiatnya. Di sini tentang khasiat kurma.


Fatih berpeluang tandem nursing dengan adik baby dalam tempoh berpantang. Semasa Ummi berpantang, Fatih dalam transisi minum susu kambing. Alhamdulillah, Fatih berhenti direct feeding selepas habis pantang. Walaupun begitu, Ummi masih memberikan susu ibu menerusi cawan. Susu kambing hanya minum sekali sehari sahaja. Mengapa susu kambing yang Ummi berikan? Boleh baca di sini tentang khasiat susu kambing.


Fatih anak yang sangat baik. Mudah Ummi menjagamu wahai anak. Begitu berdikari minum melalui cawan tanpa menyusahkan Ummi membelikan botol susu atau cawan sedut. Tapi, Ummi belikan juga yang murah-murah.


Kelainan


Sering ditanya bagaimanakah tahap perkembangan anak yang menyusu susu ibu semata? Alhamdulillah wa tabarakallah! Allah juga yang memberi izin semuanya. Pertama sekali tentulah tentang najis mukhaffafah yang masih terpelihara. Kedua, Ummi jadi malas kerana tak perlu fikirkan tentang makanan bayi. Hahaha


Fatih tumbuh gigi pada usianya 8 bulan. Tumbuh dengan 4 batang gigi serentak. 2 atas dan 2 bawah. Selesai sahaja keluar batch gigi pertama, tumbuh pula batch gigi kedua. Juga 4 batang gigi serentak. Subhanallah, malam-malam tak boleh tidur akibat kegatalan gusi. Ummi hanya berikan buah-buahan sejuk untuk hilangkan rasa gatal gusi seperti tembikai, tembikai susu dan betik di dalam peti ais. Selesai makan, sambung tidur dengan aman.


Menangis adalah hiburan bagi Fatih. Merengek mahukan perhatian. Mahukan belaian. Mahukan pelukan. Inilah kenangan terindah bagi Ummi kerana tangisan ini Ummi tak akan dengar lagi apabila Fatih besar. Fatih demam semasa mahu belajar berjalan. Ummi pernah catatkan di sini. Boleh juga baca di sini tentang rahsia hikmah demam pada badan kita.


Ummi sayang Fatih kerana Allah. Kelahiranmu Ummi telah nantikan sejak sekian lamanya. Semoga Fatih cepat menghabiskan cernaan-cernaan yang Ummi mainkan saban waktu. Semoga sempatlah Ummi mendengarnya. Ummi sentiasa doakan Fatihlah orangnya yang Nabi rindui itu. 



******************************

Ummi akan kongsikan nanti perjalanan penyusuan eksklusif adik Hassan selama 15 bulan, insyaAllah. Semua yang baik itulah milik Allah. 





Monday, December 16, 2013

Oh Bersalin!

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google


 ia penting supaya semua isteri tidak lagi berasa trauma untuk melalui detik kelahiran yang mencemaskan. Malah berasa ia adalah pengalaman yang paling indah lagi menyeronokkan sepanjang akhir hayat kita. Cuba bayangkan setiap tahun pada setiap kali kelahiran anak, kita akan bercerita pada anak tentang detik paling indah semasa mahu melahirkannya. Ia adalah kenangan terindah antara ibu dan anak sepanjang hidup mereka.

Pelbagai perasaan gundah gulana semasa mahu bersalinkan anak pertama. Pelbagai perasaan takut dan cemas yang menghantui. Banyak persoalan timbul. Saya selalu tertanya-tanya adakah mesti melalui proses yang amat menyakitkan hanya semata-mata mahu melahirkan cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini? Fakta atau mitos, kenyataan bahawa konsep bersalin itu adalah menyakitkan. Perkataan seperti " bersalin kat mana-mana, sakitnya tetap sama" sentiasa menerjah fikiran.

Tubuh badan wanita yang Allah ciptakan adalah yang paling sempurna. Semasa bersalin, hanya dua otot sahaja yang bekerja keras di rahim. Adakah ianya tak berfungsi dengan baik hingga terpaksa melalui kesakitan melampau? Bagaimana haiwan mamalia lain seperti kucing, tikus, gajah, lembu, kambing dan lain-lain boleh bersalinkan anak-anaknya dengan begitu mudah dan senang? Sementara, kita manusia sebagai ciptaan Allah SWT yang paling kompleks dan sempurna dikehendaki merasai derita ketika mahu bersalinkan bayi. Bagaimana pula ibu-ibu pada zaman dahulu boleh mempunyai anak yang sangat ramai dan hanya bersalin di rumah sahaja?

Sifat Allah SWT Yang Maha Penyayang dan menjadikan rahim wanita yang penuh kasih sayang untuk mengandungkan bayi selama 9 bulan. Allah SWT telah memberikan nikmat berkasih-sayang sesama suami isteri lalu mencambahkan benih suami ke dalam rahim wanita. Apabila tibanya waktu melahirkan, hanya isteri yang mengalami kesakitan melampau untuk melahirkan anak. Ada sesetengah isteri yang saya sendiri pernah jumpa merasakan ia agak tidak adil untuk dirinya. Kemudian, menyuruh suaminya menjaga dan mengasuh anaknya kerana pada pendapatnya dia sudah penat-penat mengandung dan melahirkan. Kini, urusan suaminya pula menguruskan anak itu hingga dewasa.



Semua ahli keluarga perempuan yang pernah melahirkan anak menasihati saya, lain orang lain pengalaman bersalinnya. Lain anak lain pula proses bersalinnya. Kalau begitu saya katakan sangat bertuahlah wanita yang dapat melahirkan anaknya dengan sangat senang, sakitnya pula tidak lama. 

Akhirnya, hal ini telah mendorong saya supaya pergi mendalami tentang hal ini secara berguru. Kursus kelahiran Hypnobirthing kami belajar selama 8 minggu. Pelbagai buku rujukan telah dibeli dan dibuat ulangkaji bersama untuk memahami konsep bersalin. Saya merasakan akan melalui peperiksaan akhir yang sangat penting iaitu dapat mengaplikasikan kelahiran di akhir kehamilan.

Pengalaman sendiri selepas melahirkan anak kedua secara semulajadi, saya rasakan seronok dan teruja sangat akan proses ini. Tidak terasa sebarang kesakitan pada mana-mana anggota badan. Paling seronok apabila disahkan koyakan yang sangat kecil. Tidak perlu dijahit. Maka, tempoh berpantang adalah saat paling gumbira. Badan sihat dan boleh meluangkan masa menyesuaikan diri dengan bayi comel. Pada tempoh berpantang sempat melatih anak sulung (pada waktu itu 1 tahun 7 bulan) supaya potty-training.

Walaupun begitu, saya tetap meneruskan resam berpantang secara tradisional seperti berurut, bertangas, berbengkung, bertungku dan bersauna. Dari sudut positif bahawa amalan berpantang sebenarnya tempoh untuk kita memanjakan diri dan berehat sebentar sebelum meneruskan rutin harian yang super sibuk sebagai ibu.

RM30 untuk 2 ebook!

Panduan lengkap dalam Ebook "Panduan 44 Hari Pantang Tradisional & Moden". Bakal terbit pada 1.1.2014. Buku dalam bentuk ebook ini merupakan satu koleksi garis panduan tentang pengurusan dan penjagaan selepas bersalin. Emosi yang baik selepas bersalin alami yang menyeronokkan akan diteruskan pula kepada fasa berpantang yang menggumbirakan.

Istimewanya hanya berharga RM30, bukan dapat satu tapi dua! Boleh dapatkan harga pre-order sebelum 1.1.2014. 

Hanya RM30 sahaja. Tempahan juga boleh dibuat di sini. http://iryaniahmad.blogspot.com/p/borang-tempahan.html

****************************************************************

Berita gembira buat para usahawan kerana sekarang sudah dibuat Kelas Akaun Bisnes Kecil buat WAHM SOHO secara 100% online atau offline. Keterangan tentang kelas ini boleh baca lanjut pada link ini

***************************************************************

Khas untuk mereka di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, Sri Kembangan dan kawasan berhampiran.

Bagi yang mahu ikut serta kelas asas blog mula bisnes, kelas akan diadakan mulai bulan ini pada setiap hari Sabtu & Ahad.
Masa : 2.00-5.00 ptg (3 jam)
Hanya 3 orang untuk satu sesi.

PM saya  Iryani Ahmad untuk keterangan lanjut.


****************************************************************



" Semoga bermanfaat "

Friday, September 27, 2013

Sakit ke Bersalin? Adoi Mak, Tolong...!

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Saya teringat semasa saya baru sahaja disahkan mengandung anak pertama. Baru sahaja 6 minggu ketika itu. Pada suatu hari, tiba-tiba saya perasan ada tompokan darah di seluar dalam. Suami cemas dan terus membawa saya ke hospital. Sampai sahaja di Hospital Putrajaya bahagian wad kecemasan, cepat sahaja saya terus masuk ke dalam. Tak payah tunggu lama.

Seorang doktor lelaki muda bertanyakan macam-macam soalan kepada saya. Ada satu soalan yang kalau saya dan suami ingat balik, pecah perut kami ketawa. 

" Puan, sakit perut tak? "

" Sakit sikit, doktor. " Jawab saya.

" Boleh beritahu saya berapa skala kesakitan Puan. Antara 1 hingga 10. "

Saya bingung ketika itu, sudahnya saya jawab satu sahaja. Jika kesakitan boleh diberi skala, sampai skala berapakah yang paling tinggi agaknya. Kalau diberi sampai 10, ada orang cakap dia lagi sakit sampai skala 100. 

Daya tahan sakit seseorang berbeza dengan orang lain. Semasa saya baru sahaja bersalinkan anak pertama, saya terus jadi sedih. Saya teringat alangkah kesiannya ibu saya semasa melahirkan saya. Beliau beritahu teramat sakit hingga tak boleh bangun sampai seminggu. Sedangkan saya pada masa itu, tidak berasa sakit sangat pun. Astaghfirullah

 Pernah rasa sakit gigi tak? Punyalah sakit sampai tak boleh tidur malam.

Jika sakit bersalin, kesakitan itu hanya hilang apabila bayi dilahirkan. Cuba bayangkan jika menahan kesakitan 10 hingga 20 jam lamanya. Seorang sahabat saya menanggung kesakitan hingga 36 jam lamanya untuk kelahiran kedua anaknya. Bayangkan sakit yang tak henti-henti datang menyerang. Semakin dekatnya bayi hendak lahir, semakin sakit. Cuba bayangkan kalau 20 tulang dipatahkan serentak. Begitulah sakitnya bersalin.

Macam-macam ragam ibu yang sedang sakit bersalin menunggu kelahiran bayi. Kalau bersalin di hospital kerajaan, dewan bersalinnya besar. Ada yang menjerit meminta tolong. Ada yang menangis. Ada yang meraung. 

Kiranya, buku cerita saya ini akan menghuraikan tentang bagaimana nak bersalin tapi tak sakit. Tahukah wahai ibu-ibu yang manis lagi cantik berseri? Perasaan takut untuk bersalin biasa dirasai oleh wanita mengandung. Tambahan pula jika anda pernah mendengar cerita-cerita bersalin yang menakutkan daripada kawan-kawan atau melihatnya di TV atau Youtube.

Bagaimanakah perasaan takut memberi kesan ketika bersalin. Perasaan ngeri ini menyebabkan wanita akan memilih untuk bersalin melalui pembedahan atau mengambil pilihan lain seperti ubat tahan sakit, epidural atau gas.

Buang Rasa Takut!

Semua pilihan ini mempunyai kesan ke atas tubuh badan dan akan mengambil masa untuk penyembuhan. Antara cara yang paling efektif untuk mengurangkan ketakutan adalah dengan memahami psikologi anatomi tubuh badan anda sendiri.

Di dalam badan manusia terdapat satu sistem yang sangat canggih dinamakan Automatic Nervous System (ANS). Sistem ini berfungsi sebagai rangkaian telekomunikasi yang paling penting dalam badan. Contohnya kalau kat Malaysia, rangkaian telekomunikasi paling utama adalah Telekom. 


Sistem ini mempunyai 2 bahagian iaitu parasimpatetik dan simpatetik. Parasimpatetik boleh diibaratkan macam bilik rawatan yang mempunyai kadar sembuh antara 95 hingga 98 peratus. Manakala simpatetic diibaratkan sebagai bilik kecemasan yang kadar sembuhnya adalah 2 hingga 5 peratus sahaja.

Parasimpatetik


Simpatetik


Kesan Buruk Perasaan Takut Semasa Bersalin :

Sistem canggih ini sangat berhubung rapat dengan proses bersalin. Perasaan takut diterima sebagai mesej dan diproses sebagai ketakutan yang amat dasyat. Mesej negatif ini akan diproses menjadi sistem kepercayaan dan memberi kesan buruk pada emosi ibu dan bayi.

Hormon Stress Terhasil
Apabila  perasaan takut dan stress tidak dibuang hingga masa bersalin, sistem pertahanan badan akan menghasilkan hormon stress, catecholamine. Badan akan akan menerima mesej untuk menjadi " fight, flight atau freeze ".

Menyukarkan Darah dan Oksigen Sampai ke Rahim
Rahim wanita tidak pernah dicipta sebagai mekanisma pertahanan badan lalu darah akan membawa respons " fight, flight atau freeze " ke semua sistem pertahanan badan. Apa akan jadi seterusnya? Saluran darah di sekitar rahim akan menjadi tegang dan sempit lalu ini menyukarkan laluan darah dan oksigen untuk sampai ke rahim.

Pucat
Wanita yang takut semasa bersalin biasanya akan kelihatan putih pucat lagi tak bermaya. Contoh lain muka boleh pucat termasuklah apabila mahu masuk ke dewan peperiksaan atau teruna yang terpaksa mengulang akad nikah pada kali ke-7.

Pintu Rahim Tak Meluas
Kesan buruk akibat proses ini akan menyebabkan rahim tak dapat bekerja dalam keadaan normal. Otot di kawasan rahim tak boleh meregang dan bertaut seperti normal lalu mengakibatkan bukaan rahim tidak menjadi luas secara bertahap.

Banyak wanita dibedah kerana bukaan pintu rahim yang tak semakin meluas hingga 10cm. Saudara saya di kampung dibedah kerana bukaan pintu rahimnya statik pada 9cm. Seorang sahabat saya di sekolah menengah juga dibedah kerana bukaan pintu rahimnya hanya 1cm selama seminggu.

Kesakitan Pada Ibu dan Bayi
Hal ini akan menyebabkan kesakitan melampau pada ibu dan begitu juga pada bayi. Lalu menyebabkan bayi stress disebabkan emosi ibu yang sangat tertekan akibat sakit melampau.

Kurang Oksigen
Kekurangan bekalan oksigen ke kawasan rahim bermaksud kekurangan bekalan oksigen pada bayi. Lalu boleh menyebabkan bayi lemas sebelum dilahirkan. Biasanya di hospital, interversi akan dilakukan.

Di sinilah pentingnya semua wanita yang akan bersalin untuk belajar tentang berada dalam keadaan "bilik rawatan" sepanjang masa berbanding "bilik kecemasan". Saya akan kupas lanjut dalam bab seterusnya, insyaAllah.




Iklan :

Bagi yang ingin menulis dan berkongsi kepakaran dan ilmu yang anda ada di blog, boleh daftar di akademi. 2 kelas asas blog mendapat sambutan yang menggalakkan. Boleh pilih mana-mana 2 kelas di bawah  :

1. kelas asas blog dan penulisan (perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran)
2. kelas asas blog dan fan page (perkongsian produk dan perniagaan)

PM saya Iryani Ahmad untuk analisa sebelum mula kelas. Add FB profile saya di sini.
Kelas dijalankan 100% secara online. Pendaftaran dibuka setiap hari. 


Wednesday, September 25, 2013

Apakah Bersalin AlaMI?

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google




Pertama kali saya mendengar tentang perkataan bersalin alami adalah semasa saya sudah ditahan di dalam hospital, mahu bersalin anak pertama. Jururawat menasihati saya supaya kalau boleh bersalin secara alami. Si ibu akan cepat sihat dan bayi tidak akan meragam. Bertuah pada masa itu kerana rajin berbual dengan jururawat yang agak berumur. Sudah agak tua dan banyak pengalamannya di bahagian ward bersalin. Macam-macam cerita bersalin yang dikongsikan pada hari tersebut, kebetulan tiada pula orang yang nak bersalin masa itu.

Bersalin secara alami ialah suatu proses kelahiran yang dilakukan dengan kaedah semulajadi yang sudah ditetapkan oleh SUNNATULLAH. Di bawah ketetapan undang-undang Allah SWT. Tiada penggunaan teknologi dan interversi perubatan moden pada si ibu dan bayi yang bakal dilahirkan. Kelahiran ini adalah membenarkan bayi itu dilahirkan sendiri pada masanya secara selamat dan mudah. Selain itu, tiada penggunaan dadah terhadap ibu dan ibu dapat melahirkan bayi dalam keadaan paling tenang dan selesa.


Contoh yang berada di sekeliling kita adalah kucing yang mahu melahirkan anak kucing.


Walaupun pada masa itu, sedang berada pada masa paling mendebarkan mahu melahirkan bayi. Mesti kuat semangat mengekalkan emosi positif untuk mencapai kelahiran semulajadi. Biarlah para jururawat dan doktor yang kelam kabut, apa yang paling penting ibu yang melahirkan berada pada keadaan paling tenang. Tenang seperti sedang berehat-rehat sahaja dan tiba-tiba bayi keluar sendiri di bawah!


Artikel ini sudah diedit dalam post Cinta Melahirkan Cinta. Baca di sini http://iryaniahmad.blogspot.com/2014/04/cinta-melahirkan-cinta.html




Saturday, September 21, 2013

Langkah Pertama Bila Tahu Mengandung

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : google

Apa yang perlu dilakukan bila dah tahu diri kita ni mengandung ye? Soalan ini selalu keluar dari mulut ibu yang pertama kali mengandung. Mengandung anak sulonglah katakan. Macam-macam perasaan. Gembira, seronok, cuak, takut dan macam-macam lagi.


Sang suami pula relaks sahaja di sebelah. Perasaan bangga tak usah nak dikata. Bangga kerana berjaya buat "orang sebelah" mengandung.

Begitu juga yang berlaku pada yang bakal menjadi nenek. Macam-macam pesanan yang disampaikan. Yelah, takut anak perempuannya atau menantu perempuannya termakan makanan-makanan terlarang yang boleh menyebabkan keguguran. Yang tajam-tajam tak boleh. Kenangan manis semasa mengandung anak pertama, teringat balik. Antara makanan yang tak boleh sentuh masa awal-awal mengandung ialah, nenas, ikan pari, air tebu, manjakani, segala ikan berbisa dan air kelapa. 

Apabila lalu sahaja di kedai barang bayi, hati meronta-ronta mahu tengok baju-baju bayi. Geram sangat. Semua comel-comel. Mulalah terbayang kita akan ada bayi comel sendiri. Senyum seorang diri itu perkara biasa. Beranganlah tu!

Pelbagai gajet barangan bayi mula diterokai. Bukan ibu bapa sahaja yang ada gajet. Bayi pun ada tau pada zaman moden ni. Segala mak nenek macam kereta sorong bayi, carseat bayi, pam penyusuan dan sekarang paling popular babywearing!

Semua itu memang betul sangat penting. Kalau boleh semua barang yang berkaitan bayi memang penting. Tapi, semua itu adalah persediaan fizikal dan material semata-mata. Persediaan menyambut sebuah kelahiran seorang khalifah Allah lebih lagi dari itu.

Persediaan menanti detik kelahiran meliputi persediaan rohani, persediaan fizikal dan persediaan emosi. InsyaAllah saya akan kongsikan dengan lebih mendalam lagi selepas ini.

Iklan :
mula belajar membina blog di sini :

Pendaftaran kami dibuka setiap hari untuk dua kelas berikut.
1. Kelas asas blog dan penulisan.
2. Kelas asas blog dan fan page (mula bisnes)



Thursday, September 19, 2013

Teknik Ajar Anak Membaca & Mengira Cepat

Teks : Iryani Ahmad


Membaca

Alhamdulillah. Saya diberi peluang dapat berjumpa dengan pengasas teknik membaca Bacalah Anakku, Puan Nik Eliani. Saya teruja sebenarnya dapat berjumpa beliau kerana saya juga dapat membaca awal pada usia 5 tahun menggunakan modul ini. Kini, saya mengajar anak-anak kecil di persekitaran rumah menggunakan teknik ini. Cukup hanya 1 tahun sahaja untuk membuktikan keberkesanan teknik ini.

Mengira

Selepas itu, saya diberi peluang sekali lagi dapat berjumpa dengan pengasas mental aritmetik. Sebagai seorang pencinta Matematik, saya sangat teruja bertemu empat mata dengan beliau. Kaedah mengira matematik dengan cepat dapat mengasah minda kanak-kanak untuk bijak berimaginasi. Otak kanan dan otak kiri dilatih menjadi seimbang seterusnya dapat melahirkan Mukmin Genius, InsyaAllah. Beliau aplikasikan teknik kira cepat ini kepada teknik hafazan. Subhanallah. Cita-cita sebelum saya berhenti berkhidmat di dunia ini, saya mahu menjadi seorang penghafaz. Kesimpulan, saya yang mesti belajar dahulu semua teknik ini.


Apa yang lebih penting dari itu, saya MESTI belajar teknik yang lebih hebat dari mereka. Teknik MATA DUITAN yang disebut oleh Guru Besar Sekolah. 

* Apabila budak kecil berada di tengah-tengah budak besar, terasa diri ini kecil sangat, suara pun kecil sahaja.


Iklan :
mula belajar membina blog di sini :

Pendaftaran kami dibuka setiap hari untuk dua kelas berikut.
1. Kelas menulis ebook 
https://chat.whatsapp.com/KDX81Vk0FFb35PhwLUYbjv.
2. Buat blog www.wasap.my/601121870144/buatblog





Sunday, September 15, 2013

Hadiah Buku Mudahnya Menjemput Rezeki

Teks : Iryani Ahmad

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Diucapkan kepada pembaca blog ini yang sangat baik hatinya...

dan lembut hatinya...

dan pemaaf orangnya...

dan manis budi bicaranya...

Didoakan semoga hari ini semua urusan sahabat sekalian dimudahkan oleh Allah, kaya, bahagia dan ceria gembira. Amin.

Kita merancang tetapi Allah juga yang menentukan.

Buku-buku sahabat sekalian telah selamat saya poskan ke peti surat masing-masing pada hari semalam.

Terima kasih sahabat kerana sudi menunggu dengan penuh sabar.

Didoakan semoga selepas sahabat sekalian tamat membaca buku tersebut, rezeki turun mencurah-curah lagi penuh berkat. Amin.

Iklan :
mula belajar membina blog di sini :

Pendaftaran kami dibuka setiap hari untuk dua kelas berikut.
1. Kelas asas blog dan penulisan.
2. Kelas asas blog dan fan page (mula bisnes)

Saturday, September 7, 2013

Teknik Melahirkan Bayi dengan Cara Paling Mudah & Seronok

Teks : Iryani Ahmad
Gambar : Google

Ya Allah, betul ke tajuk entri ni? Saya jawab seronok. Subhanallah. Inilah pengalaman peribadi yang telah dilalui. Tapi, baru lima kali melalui pengalaman bersalin. bukan dua puluh kali. Ternyata ia bukan trauma.


Pengalaman Pertama

Izinkan saya menceritakan pengalaman bersalin anak pertama. Ternyata perjuangan sebenar bagi seorang perempuan adalah setelah dia berkahwin.

Pengalaman ketika menunggu waktu untuk melahirkan anak pertama sangat mendebarkan. Orang kata sakit sangat. Ada orang lain kata seperti sakit senggugut tapi 10 kali ganda lebih dasyat. Aduhai, berdebar sangat rasa apatah lagi masa tu kandungan dah mencecah 38 minggu.


Selepas keluar tanda bersalin iaitu tompokan darah yang sedikit, suami bawa ke hospital. Malangnya hospital di Putrajaya dan sekitarnya tidak terima masuk sekiranya bukaan serviks di bawah 3cm. 

"Bagaimana nak tahu bukaan serviks itu sudah 3cm dan lebih?" 

Begitulah soalan saya kepada doktor. Kira-kira sudah 3 kali saya asyik berulang alik ke hospital kerana menyangkakan sudah hampir bersalin. Pada masa tu, dah mula rasa perut kejang dan sakit.

Justeru kami terus ambil keputusan mahu pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya elok sahaja. Tak pula sakit. Pada tengahari keesokan harinya, saya pergi ke Hospital Pontian dan diterima masuk ke sana. Jururawat suruh masuk sahaja lagipun di dalam wad lengang sahaja. Duduk-duduk rehat katanya.

Memang betul saya duduk-duduk rehat sahaja. 2 hari 2 malam bercuti di hospital. Makan, tidur, baca Al-Quran dan solat apabila tiba waktu solat. Sekali sekala saya dukung bayi yang baru dilahirkan. Cium kuat-kuat. Comel! Subhanallah...

Kesakitan yang Tenang

Kisah semangat ini bermula apabila rakan sebilik saya yang juga seorang ustazah mahu melahirkan anaknya yang ketiga. Pada malam kedua saya di sana, beliau memberitahu saya akan gerak hatinya mahu melahirkan anaknya pada malam ini. Hati ibunya gelisah kerana sudah 2 hari meninggalkan rumah. Apa cerita pada 2 anaknya yang lain itu.

Saya melihatnya hanya terbaring mengiring sahaja. Kadang-kadang duduk mahu minum air. Beliau mengiring ke arah saya. Saya melihat wajahnya dengan jelas. Beliau selalu menutup matanya. Tapi bukan tidur. Beliau sedang bercerita pada saya akan nikmatnya menjadi seorang ibu. Saya sedang mendengar ceramah agama 'live' daripada seorang ibu yang bertarung kesakitan mahu melahirkan anak! 


Saya teringat-ingat wajahnya yang manis itu. Banyak tersenyum apabila berkata-kata. Tiba-tiba beliau turun dari katil dan segera betulkan kainnya. Kainnya basah! Baru saya tahu itulah air ketuban. Banyak hingga menitik ke lantai. Saya tawarkan diri mahu memanggil jururawat. Ketika itu sudah pukul 4 pagi. Kami tak tidur malam itu. Beliau menolak kerana mahu berjalan sendiri. Beliau jalan perlahan-lahan.

Saya hanya melihatnya berjalan sehingga beliau masuk ke bilik bersalin. Tak sampai 15 minit, saya terdengar suara bayi menangis.

Allahuakbar!

Selepas subuh, apabila beliau masuk sahaja ke bilik, saya dengan tak sabarnya bertanya padanya dengan soalan bertalu-talu.

"Akak, senangnya bersalin! Tak sakit ke?" 

Beliau tersenyum sahaja. Beliau berdoa semoga saya bersalin sebelum beliau dibenarkan keluar. Beliau mahu membimbing saya.

Tengahari itu juga saya sudah terasa sakit. Sakit yang tak pernah dialami sebelum ini. Menggeletar gigi dan seluruh tulang mahu menahan rasa sakit ini. Air mata keluar tanpa sedar.

Pukau

Kakak sebilik tadi terus menerus memukau saya dengan alunan zikir. Beliau menyuruh saya berzikir bersama-sama. Kata-kata nasihat terus menerus masuk ke telinga saya. Masyaallah, sampai sekarang masih terngiang-ngiang nasihatnya sepanjang tempoh paling getir dalam hidup saya.

Pada masa inilah, kurma masuk ke mulut saya terus menerus. Sentiasa mengunyah kurma sepanjang masa. Apabila dahaga, minum air masak sahaja. Begitulah pesannya.

Bersalin

Alhamdulillah, suami dapat menemani saya ketika di dalam bilik bersalin. Rupa-rupanya bayi saya berada pada kedudukan mendongak. Maka, saya mengambil masa 1 jam ketika proses mahu meneran. Sangat lama. Alhamdulillah, jururawat bagi saya masa dan tak paksa ketika proses mengeluarkan bayi. 

Saya rasa bertenaga pada waktu tersebut. Malah, sehingga waktu selepas melahirkan. Saya aplikasikan juga teknik memakan kurma semasa mahu melahirkan anak kedua. MasyaAllah, kali ini rasa lebih bertenaga. Yelah, 2 kotak kurma saya makan. 

Rasa bersalin kali kedua, perasaannya sama sahaja seperti selepas membuang air besar. Tak sakit dan rasa lega sangat kat perut! Boleh baca cerita saya bersalin anak kedua di sini. Tetapi, awas ceritanya sangat panjang berjela.

Subhanallah. Segala pujian hanya milik Allah SWT.

Khasiat Kurma

Allah telah memerintahkan Maryam supaya memakan kurma ketika sedang sakit dan lemah ketika mahu bersalin dalam surah Maryam ayat 25. Kajian sains telah membuktikan bahawa memakan kurma bukanlah budaya Arab semata-mata ataupun hanya sesuai untuk cuaca beriklim panas sahaja. Kurma adalah ubat terbaik bagi wanita yang sedang sakit mahu melahirkan anak mengatasi ubat dadah yang mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lain.

Boleh baca lagi tentang khasiat kurma di sini. Artikel bertajuk Khasiat Kurma.

Menjadikan diri sendiri sebagai testimoni kerana memakan kurma sepanjang proses melahirkan anak. Dalam perkataan yang lebih mudah, penawar ketika sakit kontraksi adalah kurma. Badan yang letih menahan kesakitan demi kesakitan sepanjang proses kelahiran bayi dapat diatasi dengan makan kurma. 

Kurma menyumbang tenaga dengan serta merta. Tubuh terus kekal bertenaga dan terasa segar menempuh kesakitan demi kesakitan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, lebihan kurma di dalam mulut ibu boleh terus dioleskan sedikit ke dalam mulut bayi, ia dinamakan tahnik. Sebaik-baiknya dilakukan sebelum bayi menyusu ibu buat pertama kali. Rujukan daripada buku Tarbiatul Aulad Fil Islam karangan Syeikh Nasih Ulwan.

Ombak Kontraksi

Bagi bakal ibu yang pertama kali akan merasakan nikmat sakit bersalin, kesakitan itu akan datang dan pergi seperti ombak laut. Malah ombak kontraksi yang datang seterusnya adalah lebih kuat dan menyakitkan. Tak usah lawan. Cukup hanya tenangkan diri. Bertuahlah wanita kerana setiap kesakitan itu menghapuskan dosa kita yang lalu. Diakui memang sangat menyakitkan. Namun, ia dapat diatasi dengan persediaan fizikal, mental dan rohani yang cukup.




Persediaan fizikal, mental dan rohani

Persediaan fizikal adalah persediaan tubuh badan menempuh hari bersejarah untuk bergelar seorang ibu. Sejauh mana tubuh badan kita dah bersedia. Allah SWT sudah menciptakan tubuh badan wanita dengan sempurna dan lengkap dalam perjuangan melahirkan seorang manusia di muka bumi ini. Namun, sang ibu juga perlu bersedia sebelum pergi berperang berjuang di medan jihad melahirkan seorang bayi. Jika tidak, kita akan berasa sangat sakit hingga emosi dan mental akan terganggu seterusnya meninggalkan rasa trauma dalam diri, tidak mahu lagi mengandung dan melahirkan anak selepas ini.

Antara cadangan yang boleh dilakukan adalah senaman di bahagian pelvis. Lakukan yang mudah seperti menumbuk sambal di lesung batu sambil mencangkung. Tiada penggunaan blender sepanjang mengandung. Ia boleh memberi manfaat pada kekuatan otot pelvis dan perineum.

Persediaan mental dan rohani pula bermaksud sejauh mana kebergantungan si ibu pada Allah SWT. Sepanjang mengandungkan bayi sejauh mana penghayatan ibu pada amalan-amalan yang dapat mendekatkan dirinya pada Allah SWT. Tenggelam pada nikmat zikir dan selawat atas Nabi SWA hingga kesakitan ketika bersalin tidak dirasai sama sekali. Teknik pukaukan diri dengan zikrullah ini harus dilatih sejak awal mengandung lagi. Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan pada diri kita yang biasa-biasa sahaja ini.

Melalui pengamatan sangat kerdil ini, kini kebanyakan ibu muda suka memilih hospital swasta yang paling canggih/popular (baca : paling mahal). Mungkin pada pandangan mereka, hospital tersebut dapat memberikan servis yang terbaik. 

Fakta yang amat mengejutkan, skala ibu dibedah sewaktu melahirkan terutama pada waktu bekerja normal (8 pagi hingga 5 petang) adalah paling tinggi di negara membangun dan maju. Tak percaya sila lihat laporan ini di sini.  


Ternyata melahirkan bayi bukan tugas doktor atau bidan semata-mata. Ilmu dalam bidang ini jika dipelajari dan dikaji bersungguh-sungguh ternyata mampu menjadikan semua ibu berani untuk melahirkan bayi mereka di mana-mana malah berani bersalin seorang diri!





Tiada yang mustahil bagi Allah SWT. Allahuakbar! Tiada lagi trauma bersalin setiap kali memandang wajah anak. Yang ada hanya limpahan kasih sayang daripada Dia. Hal ini memacu kepada tip parenting positif bermula hari pertama benih ini ada pada rahim kamu. Dapatkan lagi dalam ebook Bersalin Alami di sini www.wasap.my/601121870144/ebookbersalinalami









Tuesday, September 3, 2013

Rumah Kecil yang Bahagia

Teks : Iryani Ahmad

Di rumah yang kecil, terasa luas apabila penghuninya punya ketenangan. Jiwa kita akan disapa ketenangan oleh tuan rumah yang punya ketenangan. Dia mungkin tidak punya harta, tetapi kaya ilmu dan akhlak. Sikapnya yang sangat suka memberi menyebabkan kita terhibur. Dia memberi senyuman, nasihat, doa dan kata-kata yang mesra. Sungguh, yang baik akan sentiasa kelihatan cantik!

Petikan kata-kata oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.



Setelah 3 tahun duduk di rumah jenis walk up apartment, muncul kemahuan yang sangat kuat untuk duduk di atas tanah pula. Tapi, rumah atas tanah di kawasan ini, harganya sangat mahal. Samada sewa atau beli memang mahal betul harga rumah di kawasan panas ni.


Teringat nasihat seorang sifu supaya sentiasa pertimbangkan antara keinginan, kehendak dan kemahuan.


Sebagai manusia biasa yang lemah imannya, saya sendiri sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik. Tapi saya sedar diri, saya buka berasal dari keluarga senang. Sedang cuba belajar kurangkan menyebut perkataan ‘Ingin, ‘Mahu’, dan ‘Hendak’. Bukan tak boleh tapi kurangkan dan pertimbangkan. Simpan duit! 



Promosi kemasukan Ogos & September, setiap pendaftaran layak


1. Mendapat dua ebook percuma, ebook mula bisnes butik online/offline dan ebook super wahm super mom 
2. Pakej penjimatan sebanyak RM75
3. Layak menikmati ruang tapak iklan bernilai RM100

Kami menawarkan dua kelas berikut:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas Asas blog dan fan page 

Email saya di pn.iryani@gmail.com untuk analisa sebelum masuk ke kelas. 

p/s : Terdapat 15 penyertaan untuk pertandingan giveaway. Saya sedang pulun nak membalut buku-buku.InsyaAllah dalam minggu ini buku-buku akan terbang bertemu dengan tuan empunya.

Alhamdulillah. ameen. terima kasih doakan Hassan dan Fatih. Semoga doa acik semua dimakbulkan Allah. 

Wednesday, August 28, 2013

Selamat Hari Lahir 1 tahun Sayang... Giveaway Buku Percuma

Teks : Iryani Ahmad
Rujukan : Al-Ma'thurat terbitan Telaga Biru

Selamat hari lahir yang pertama sayangku, Muhammad Hassan. Sungguh pantas masa berjalan. Kenangan berjuang melahirkan dirimu masih segar di ingatan. Tanpa sebarang bantuan dadah dan peralatan hospital. Masih teringat lagi, ketika ummi kesakitan berjuang selama 3 jam seorang diri, hanya saudaramu, Muhammad Alfatih yang teman dan tentunya Allah Yang Maha Penyayang.


 Namamu dipilih oleh Abi sempena nama pejuang Islam, Al-Imam as-Syahid Hassan Al-Banna. Besar harapan kami sebagai ibu bapa terhadap dirimu, wahai anakku. Agar dirimu menjadi seorang anak soleh dan apabila dewasa kelak, kamu membesar menjadi seorang pejuang Islam. Semoga hidupmu sentiasa diberkati Allah dan sentiasa berada dalam nikmat kasih-sayangNya. 

Hassan Al-Banna

Wirid al-Ma'thurat (wirid dan doa Rasulullah S.A.W) disusun oleh Hassan Al-Banna. Beliau merupakan seorang pendakwah yang mengorbankan harta dan nyawanya untuk menegakkan kedaulatan Islam. Beliau adalah pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin.

Pada usia 12 tahun, beliau telah menghafal Al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Akhlaqi di madrasahnya. Beliau juga sering menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di bandar Ismailiyyah dan dalam masa yang sama sedang bertugas sebagai seorang guru pada Mac 1928.

Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Bimbang dengan pengaruhnya yang semakin kuat, Hassan al-Banna ditembak mati oelh seorang pembunuh upahan lalu menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 1949.

Tok Janggut

Selain itu, nama sebenar Tok Janggut adalah Muhammad Hassan. Beliau adalah pahlawan Islam yang berasal dari Tanah Melayu. Beliau digelar Tok Janggut kerana memiliki janggut yang panjang.

Sempena hari lahir sayang, ummi sudah belikan buku-buku tokoh sejarah Islam seperti Imam Hasan Al-Banna dan Tok Janggut. Sayang boleh baca apabila sudah pandai membaca kelak. Ummi dan Abi akan mengumpul sebanyak mungkin bahan bacaan yang boleh memberikan manfaat dan semangat tentang Ilmuan Islam buat sayang.

Sempena pada hari lahir Muhammad Hassan, di sini saya ingin memberi 10 buah buku secara percuma. Buku bertajuk Mudahnya Menjemput Rezeki.




Syarat Giveaway

Kalian yang ingin memenangi buku Mudahnya Menjemput Rezeki secara percuma harus menulis sebuah entri mendoakan birthday boy, Muhammad Hassan. 

1.Tulis apa-apa sahaja tentang harapan dan doa kepada beliau. 

2.Wajib letak backlink ke blog saya.

3.Letak link entri di bawah komen. 

4.Cukup 10 orang yang menulis, saya akan poskan bukunya. PERCUMA!

Siapa cepat, dia dapat. Terhad kepada 10 orang sahaja!